Sunday, July 28, 2019

Ayam Singgang Asam Kukus dan Terung Goreng Berlado Ikan Bilis

Assalamualaikum semua, ok baiklah kita terus kepada menu tengah hari kita.
Menu kita pada tengah hari ini ayam singgang kukus dan terung goreng berlado ikan bilis. 

Menu nie memang terangkat kalau digabungkan sekali.. Sedap bagi tekak aku la.
Biasanya resepi aku untuk 2 orang makan,  almaklumlah aku hanya berdua dengan suami. Doakan kami dikurniakan zuriat yang ramai ya 😍😍😍 InshaAllah nanti boleh lah share dengan korang portion makanan yang lebih besar pula. 



Bahan-bahan
( Untuk 2 orang makan)
1. Ayam 4 ketul (yang telah dipotong dan dibasuh bersih)
2. Halia 1 inci
3. Cili 7 biji
4. Bawang putih 4 ulas
5. Bawang besar 1 biji
6. Daun kunyit 1 helai
7. Tomato 3 biji (separuh masak)
8. Ikan bilis kopek dalam 1 segenggam kecil.
9. Terung panjang 2 biji
10. Minyak masak
11. Garam dan perasa makanan
12. Limau kasturi 1 biji
13. Air masak 2 cawan
14. Pes asam jawa 1 1/2 sudu besar

Cara-cara memasaknya

Ayam Singgang Asam Kukus

1. Mula-mula racikkan halus semua halia, daun kunyit dan separuh bawang besar (lagi separuh kita akan gunakan untuk memasak terung).

2. Ambil 1 biji tomato dan dipotong halus.

3. Cincang 2 ulas bawang putih dan 2 biji cili (kalau suka pedas boleh tambahkan lebih)

4. Letakkan ayam, bahan yang telah diracik, dipotong dan di cincang ke dalam kuali, kemudian  tuangkan 2 cawan air ke dalam kuali yang telah diletakkan dengan pes asam jawa dan dikacau.

5. Letakkan sedikit garam dan perasa makanan.

6. Tutup ayam dan kukus selama 20 hingga 30 minit sehingga masak dengan api kecil.
Adjust rasa masakan apabila ayam telah siap dimasak.



Terung Goreng Berlado Ikan Bilis

1. Potong terung bulat-buat jika saiznya kecil. Jika saiznya besar,  belah kepada 2 bahagian dan potong tipis-tipis.


2. Goreng terung dan ikan bilis sehingga keemasan dan toskan.

3. Potong baki bawang besar dan tomato.

4. Cincang 2 ulas bawang putih dan 5 biji cili.

5. Tumiskan semua bahan yang telah dipotong dan dicincang sehingga naik bau dan keemasan.

6. Masukkan semua ikan bilis dan terung ke dalam kuali dan perasakan dengan garam dan perasa makanan tak kira serbuk pati ayam atau ikan bilis secukupnya.

7. Gaul sehingga sebati dan sedia untuk dihidang bersama ayam singgang asam kukus. Perahkan sedikit air limau kasturi di atas hidangan terung. Makan semasa makanan masih panas.




Terima kasih suami selalu jadi pembuat air yang paling sedap 😍😍😍


No comments:

Post a Comment